Ketahui Bilangan Pengunjung Online Dalam Blog

kata gerak3

"aku berubah bukan atas tiket aku sukakan si dia,tapi aku berubah atas dasar untuk mendapatkan redhaNya

Saturday, May 28, 2011

DI MANAKAH HENDAK DICARI KETENANGAN HAKIKI?

SESEORANG bertanya bagaimanakah beliau dapat mencari kebahagiaan yang hakiki dalam menghadapi hidup yang mencabar. Apakah itu sakinah dalam kehidupan?

Sebenarnya, saya sendiri gerun untuk menjawabnya kerana ketenangan dan ketenteraman jiwa yang sebenar tidak boleh sesiapa pun berikan melainkan hanya الله. Hanya insan-insan yang benar-benar mendampingi diri kepada الله akan menikmatinya. Saya juga seperti yang bertanya, berusaha mencari dan ingin memperolehinya.

Saya merenung kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam kitab kerohaniannya yang terkenal ‘Madarij al-Salikin’. Suatu kata-kata yang terbit dari ilmu dan pengalaman kerohanian yang dalam. Kata beliau:
    “Dalam jantung HATI ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap الله, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan الله, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali الله dan ketulusan berhubungan dengan-NYA, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama الله dan kembali kepada-NYA, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan الله, menghayati kesabaran sehingga bertemu-NYA, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada الله, sentiasa mengingati-NYA, keikhlasan yang benar kepada-NYA.”

Itulah penawar bagi jantung HATI insan. Itu ubat bagi nurani insan. Dunia dan segala isinya tidak akan dapat membawa kebahagiaan ke dalam sanubari insani, jika insan itu tidak mengenali الله, mendampingi-NYA, memohon daripada-NYA, merintih dan menangis di hadapan kebesaran-NYA. Insan telah mencuba pelbagai perkara dalam kehidupan, tetapi mereka tetap gagal menemui sakinah, kebahagian dan ketenangan yang hakiki selagi mereka tidak kembali menyerah jiwa raga, ruh dan jasad tunduk dalam sedu dan syahdu mengingati dan bertawakkal kepada الله.

Manusia mungkin boleh menawarkan harta, wanita dan kuasa, namun belum tentu bersamanya bahagia. Justeru, seorang yang tinggal dalam rumah yang indah dan mewah, belum tentu lebih bahagia dan tenteram jiwa dari seorang yang tinggal di rumah yang usang dan buruk. Seorang wanita yang bersuami orang kaya belum tentu lebih bahagia dari seorang wanita yang bersuami lelaki biasa. Seorang yang beristeri cantik, belum tentu lebih bahagia dari yang beristeri tidak seberapa. Bahkan yang dihidangkan makanan lazat, belum tentu dapat menikmatinya melebihi seorang yang hanya dihidang makanan kebanyakan. Maka, jangan hairan jika negara-negara maju dan kaya seperti Perancis, Germany, Jepun, Austria peratusan rakyat mereka yang membunuh diri tinggi. Kebahagiaan bukan soal harta, tetapi soal jiwa insani yang kahausan kasih dan cinta ilahi.

Al-Quran dan al-Sunnah membimbing insan dalam mencari kebahagian yang hakiki ini. الله menyebut, (maksudnya):
    Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada satu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi apa (penyakit-penyakit) yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Nabi صلی ﷲ علیﻪ و سلم pula menyebut:

    Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka الله jadikan kekayaannya dalam jiwanya. الله mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka الله akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. الله cerai beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina).” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

Mengetahui agama belum tentu menjadikan seseorang mendekatkan diri kepada الله. Betapa banyak insan yang memakai pelbagai gelaran agama, namun mereka gagal mendampingkan diri kepada الله. Maka, untuk mencari kebahagian dan sakinah, insan bukan sekadar berilmu, tetapi hendaklah mengikhlaskan diri kepada الله, menyerah dan bergantung kepada-NYA. Apabila jiwa bersih dari sebarang unsur syirik, apabila ditanggalkan dari nurani ini kebesaran dan pergantungan kepada makhluk, ditempatkan hakikat tawakal kepada الله, apabila insan sentiasa berdoa; rintihan, harapan, rayuan, esakan dan tangisan kepada الله, dilontar jauh segala perharapan jiwa kepada selain-NYA, maka insan akan menemui hakikat kenikmatan hidup.

Apabila zahir dalam kehidupannya apa yang dia sering kata ungkapkan dalam Surah al-Fatihah: “Hanya Engkau kami sembah dan hanya Engkau kami mohon pertolongan”, maka zahir keyakinan hidup dan kenikmatan yang tiada bertebing bagi sebuah diari yang singkat ini. Moga kenikmatan yang lebih besar di akhirat menanti. Apabila zahir hakikat ini dalam hidup, lahirlah kehidupan yang berprinsip, dibukakan laluan kehidupan dan sentiasa dibimbing dalam menuju garis penamat riwayat dunia ini. Lahirlah insan soleh yang kakinya memijak bumi, jiwanya bergantung pada الله. Lahirlah insan soleh yang siangnya bagaikan perwira yang tangkas, namun dalam kesunyian malam dia adalah hamba yang kusyuk dan penuh sendu dan tangis merintih dan merayu kepada الله Yang Esa.

Apabila sakinah itu الله berikan dalam kehidupan seseorang, segala rintangan amat kecil kerana dia sedang bersandar kepada yang Maha Agung dan Maha Besar. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:

    Sakinah: ketenteraman dan ketenangan HATI nurani. Asalnya dalam HATI nurani dan zahir kesannya pada anggota” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Tibb al-Qulub 237. Damsyik: Dar al-Qalam)
Demikian sakinah itu hadir dalam jiwa Nabi Ibrahim عليه السلام ketika dia dilontarkan ke dalam api, hadir dalam jiwa Nabi Musa a.s. ketika dia dikepung oleh Firaun. Demikian kepada sekelian para nabi, terutama nabi kita Muhammad صلی ﷲ علیﻪ و سلم . Firman الله (maksudnya):
    Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya الله telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (Abu Bakar) semasa mereka berlindung dalam sebuah gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya الله bersama kita”. Maka الله menurunkan sakinah ke atasnya (Nabi صلی ﷲ علیﻪ و سلم ) dan menguatkannya dengan bantuan tentera yang kamu tidak melihatnya. Dan الله menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (hina), dan kalimah الله (Islam) itulah yang tertinggi kerana الله Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Taubah, 40)

Demikian sakinah diturunkan ke dalam HATI nurani mereka yang beriman dalam kalangan sahabah Nabi صلی ﷲ علیﻪ و سلم yang berjuang pada jalan الله dan menghadapi cabaran. Firman الله (maksudnya):

    Dialah Yang menurunkan sakinah ke dalam HATI nurani orang-orang yang beriman (semasa mereka marah terhadap angkara musuh) supaya bertambah iman beserta iman mereka yang sedia ada; dan الله mempunyai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan الله adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”(al-Fath, 4)

Apabila sakinah itu turun ke dalam jiwa mukmin, tindakan dan bicara mereka melambangkan tindakan dan bicara insan yang berprinsip dan matang. Berbeza dengan musuh atau pihak yang tiada sakinah dalam bicara dan tindakan mereka. الله menyebut hal ini (maksudnya):

    Ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam jantung HATI mereka -perasaan sombong angkuh secara jahiliyah, lalu الله menurunkan sakinah kepada Rasul-NYA dan kepada orang-orang yang beriman, serta meminta mereka tetap berpegang kepada “kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi الله) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), الله itu Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Fath, 26)

Itulah sakinah yang telah الله turunkan kepada para nabi عليه السلام dan kepada golongan mukminan yang berjuang mendapatkan redha الله.

Maka, dalam menelusuri hidup yang mencabar, di zaman yang penuh fitnah ini, tiada yang dapat mententeramkan jiwa kecuali bila الله menurunkan kebahagiaan dari sisi-NYA kepada kita. Kata Ibn al-Qayyim dalam Tibb al-Qulub sebab yang membawa seorang kepada sakinah ialah perasaan perdampingan (muraqabah) dengan الله seakan dia melihat الله. Apabila perasaan itu bertambah, maka bertambahlah rasa cinta, tunduk, kusyuk, takut dan harap kepada-NYA.

Kita mungkin tidak dapat menyelak cabaran dan ujian dalam hidup. Manusia yang zalim dan jahat mungkin cuba merampas pelbagai hak kita dalam kehidupan, namun mereka tidak akan dapat merampas kebahagian dalam jiwa kita kerana sakinah adalah kurniaan الله yang diturunkan dalam jiwa mukmin. Kita mungkin tidak dapat bersaingan dengan orang lain di sudut kekayaan dunia dan kenikmatannya, tetapi kita sentiasa berpeluang mendapat sakinah jika memohon dan mencarinya di sisi الله.

Shared By ⓗⓘⓓⓐⓨⓐⓗ

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya الله dan para malaikat-NYA bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang berIMAN bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan. “ [Al-Ahzab: 56]

0 mari memberi komen2 anda yg bernas..:):

Post a Comment